KOTA BHARU: Dua lelaki warga Pakistan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini masing-masing atas pertuduhan menyeludup seramai sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang merupakan rakan senegara mereka menggunakan dua buah kenderaan di Machang, dekat sini, bulan lalu.
Tiada pengakuan direkodkan oleh kedua-dua tertuduh iaitu Sajjad Saed Abdul, 27, dan Hameed Gul Mehrab,32, selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah. Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Sajjad Saed yang kudung tangan kanan didakwa menyeludup lima migran warga Pakistan berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 30 tahun menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Avanza di bahu lebuh raya pintasan Machang-Kuala Krai, Machang kira-kira pukul 9 malam pada 13 Ogos lalu.
Dalam prosiding berasingan, Hameed Gul didakwa menyeludup empat migran Pakistan berusia dalam lingkungan 19 tahun hingga 40 tahun menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Kampung Telaga Tujuh, Machang kira-kira pukul 10.10 malam pada tarikh yang sama.
Kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Kamilah Che Ibrahim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 29 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, cubaan dua tekong darat warga Pakistan untuk menyeludup sembilan PATI yang merupakan rakan senegara mereka gagal selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua buah kenderaan di dua lokasi berasingan di Machang dekat sini pada 13 Ogos lalu. – UTUSAN










