Bekas juruwang didakwa seleweng tambah nilai TnG hampir RM600,000

Bekas juruwang didakwa seleweng tambah nilai TnG hampir RM600,000

SEORANG wanita yang didakwa atas pengubahan wang haram berjumlah lebih RM400,000 ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas juruwang sebuah pasar raya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan tambah nilai Touch ‘n Go (TnG) eWallet berjumlah hampir RM600,000.

Bagaimanapun, di hadapan Hakim Azrul Darus, tertuduh, Nur Atiqah Asyirah Muhamad Fauzi, 28, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Mengikut dua pertuduhan pecah amanah, tertuduh sebagai pekerja pasar raya tersebut, didakwa telah curang menyalahgunakan mesin terminal pin TnG milik syarikat dengan mengeluarkan nilai pin bernilai RM98,800.

Pin yang kemudian ditebus nilai ke dalam akaun TnG eWallet miliknya sendiri itu didakwa dilakukan di sebuah pasar raya di Kepong di antara 7 Januari 2023 dan 9 Julai 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dengan sebat dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Bagi 12 pertuduhan pengubahan wang haram, Nur Atiqah didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM469,400 kepada akaun bank miliknya dan beberapa akaun TnG eWallet milik ahli keluarganya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pasar raya di Kepong di antara 1 Januari 2023 dan 6 Ogos 2024.

Kesemua 14 pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah hasil atau denda RM5 juta atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga memerintahkan Nur Atiqah untuk melapor diri di Bahagian Pencegahan Wang Haram di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, satu bulan sekali dan penyerahan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Saravanan dan Megat Mahathir Megat Tharih Afendi manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ainul Azwan @ Ainul Azirahman Ainul Jamal.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 November ini. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×