Remaja didenda RM600, buat laporan polis palsu

Remaja didenda RM600, buat laporan polis palsu

MAHKAMAH Majistret Johor Bahru mendenda RM600 seorang remaja lelaki kerana membuat laporan polis palsu diserang individu menggunakan senjata api, bagi mendapatkan perhatian dan kasih sayang abang dan kakaknya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang remaja lelaki didenda RM600 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah membuat laporan polis palsu diserang individu menggunakan senjata api kerana dahagakan perhatian serta kasih sayang abang dan kakaknya.

Majistret, A. Shaarmini membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia 19 tahun mengaku bersalah atas perbuatan tersebut dalam keadaan menangis teresak-esak.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara satu bulan jika gagal bayar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah membuat laporan polis palsu sehingga menyebabkan anggota polis menggunakan kuasa sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada seseorang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 7.17 malam, 16 Ogos lalu di Balai Polis Nusa Bestari, Skudai di sini. 

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, ketika rayuannya, tertuduh memberi alasan dia membuat laporan polis palsu tersebut bertujuan mendapatkan perhatian dan kasih sayang daripada adik beradiknya.

Majistret kemudian menasihati tertuduh agar tidak mengulangi perbuatan tersebut kerana ia telah membazirkan masa serta wang pihak polis untuk melakukan siasatan melibatkan laporan dibuat.

Sementara itu, tertuduh turut didenda RM2,000 gagal bayar dua bulan penjara kerana dipercayai memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini pada pukul 10 malam, 16 Ogos lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 292 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd. Nizam, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Nabila Hamzah dan Heng Waang Qiaayou. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×