JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memukul seorang lelaki menggunakan sebatang paip ekzos, April lalu.
Tertuduh, P. Kanapathy, 25, dijatuhkan hukuman itu tersebut setelah membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, A. Shaarmini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang lelaki lain berusia 30 tahun menggunakan alat senjata iaitu sebatang ekzos di sebuah rumah dekat Jalan Putra 14, Taman Tan Sri Yaacob, di sini pada pukul 5 pagi, 13 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Abd. Nizam manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Nabila Hamzah meminta mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh masih di peringkat awal.
Berdasarkan fakta kes, mangsa dan tertuduh bertemu di luar rumah sebelum berlaku perselisihan faham antara mereka, kemudian bertindak memukul mangsa menggunakan ekzos sehingga mendatangkan cedera luka dan bengkak di bahagian bibir, belakang leher dan kening mangsa sehingga memerlukan rawatan jahitan dibuat.
Tertuduh ditahan polis pada pukul 11.45 malam, 7 Julai lalu, selain sebatang paip ekzos yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut turut dirampas. – UTUSAN










