KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol bekas kakak iparnya di sebuah rumah di Bukit Jalil, dua tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 31 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap wanita berusia 31 tahun ketika kejadian di sebuah unit kediaman pangsapuri di sini pada pukul 3.30 pagi, 22 Januari 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zul Hilmi Latif memaklumkan pihak pendakwaan tidak bercadang untuk menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin.
“Bagaimanapun, sekiranya mahkamah ingin mempertimbangkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan ditetapkan sebanyak RM30,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan,” katanya.
Bagaimanapun, tertuduh tidak dihadiri penjamin ketika prosiding. Mahkamah kemudian menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










