Pasangan kekasih didakwa edar heroin

Pasangan kekasih didakwa edar heroin

AHMAD Ramdzan Mohamed dan Farah Amira Mohamad Ali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mengedar dadah dan menghalang tugas penjawat awam. - UTUSAN/ARIF HAMIZAN MISKON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 15.06 gram (g), bulan lalu.

Tertuduh, Ahmad Ramdzan Mohamed, 26, dan Farah Amira Mohamad Ali, 28, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani tetapi tiada pengakuan direkodkan kerana kes mengedar dadah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis heroin berat kasar 15.06g di tepi jalan simpang Jalan Teruna 1, Taman Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 6 petang pada 22 Julai 2025.

Pasangan itu berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah jika tidak dihukum gantung sampai mati, disebat tidak kurang 12 sebatan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK).

Pegawai pendakwa, Inspektor Mohd. Zaidi Tahir memaklumkan laporan kimia belum diperoleh dan tidak mencadangkan jaminan manakala pasangan itu tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 9 September ini untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding sama, pasangan itu juga mengaku tidak bersalah di bawah Seksyen 186 KK kerana menghalang tugas penjawat awam iaitu dua anggota polis lelaki daripada menjalankan tugas hakiki dengan cara melarikan diri semasa pemeriksaan dijalankan.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 6.02 petang di Blok C Pangsapuri Anika, Lorong Pandan dalam daerah Melaka Tengah pada tarikh sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Ahmad Ramdzan memohon dibicarakan atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis lelaki semasa melaksanakan tugasnya sebagai penjawat awam di Jalan Teruna 1 pada tarikh sama.

Tertuduh yang juga seorang penganggur berdepan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 332 KK, jika sabit kesalahan.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, pendakwaan tidak mencadangkan jaminan.

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin kerana mereka telah dituduh di bawah Seksyen 39B (1) (a) ADB 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN