Sepasang kekasih ditahan tawar penstriman haram Astro dengan caj RM39 - Utusan Malaysia

Sepasang kekasih ditahan tawar penstriman haram Astro dengan caj RM39

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kegiatan sepasang kekasih yang menjalankan ‘perniagaan’ penstriman haram bagi Astro di sekitar Lembah Klang berakhir selepas mereka ditahan pihak berkuasa.

Kedua-dua suspek berusia 53 dan 57 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan pada 14 Mac lalu di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. 

Serbuan pertama dijalankan di sebuah kediaman di Sungai Long, Kajang dekat sini disyaki beroperasi sebagai pusat kawalan bagi mengawasi masa henti dan masa hidup server di `ladang penstriman’ haram terbabit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lokasi kedua di Jalan Kovil Hilir, Sentul, manakala serbuan terakhir di Taman Genting Setapak, di sini disyaki beroperasi sebagai ladang ‘server’ penstriman haram yang membekalkan kandungan penyiaran Astro dan stesen-stesen penyiaran antarabangsa lain kepada pengguna aplikasi sindiket terbabit.

Katanya, siasatan mendapati kedua-dua suspek dikesan mempromosikan pakej tersebut melalui Facebook dengan kadar bulanan sebanyak RM39. 

“Operasi ini hasil kerjasama JSJK dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Astro melalui risikan selama tujuh bulan bagi mengesan lokasi ‘server’ ladang penstriman haram milik sindiket yang didapati mengelola dan membangunkan tiga aplikasi penstriman haram.

“Kita percaya kedua-dua suspek merupakan dalang utama dengan menawarkan penstriman stesen televisyen berbayar di negara ini sehingga mengakibatkan kerugian hingga jutaan ringgit,”katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Ramli berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas sejumlah peralatan penstriman Astro dan siaran antarabangsa, peranti server, perakam video serta beberapa buah piring satelit yang tidak menepati piawaian dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM100,000.

Jelasnya, siasatan di bawah Seksyen 43AA(1) Akta Hakcipta 1987.

“Pengguna yang dikesan melanggan penstriman secara haram juga akan diambil tindakan. Justeru, saya ingin mengingatkan masyarakat agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penstriman haram kerana kegiatan ini adalah satu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN