Dadah: Pemandu lori terlepas hukuman gantung

Dadah: Pemandu lori terlepas hukuman gantung

Gantung
SYAFRI Hamzah dibawa keluar dari kamar Mahkamah Tinggi selepas mendengar hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan atas kesalahan memiliki dadah, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pemandu lori terlepas hukuman gantung selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini terhadap pertuduhan yang dipinda daripada mengedar dadah kepada memiliki dadah pada April lima tahun lalu.

Tertuduh Syafri Hamzah, membuat pengakuan demikian selepas mendengar kedua-dua pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak berusia 45 tahun itu didakwa memiliki dadah jenis Metamfetamin seberat 312.6 gram dan Methylenedioksimetamfetamin (MDMA) (1.4 kilogram) pada 25 April 2020.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan dekat sebuah rumah di Bandar Rinching, Semenyih dan sebuah unit kondominium di Balakong, Seri Kembangan kira-kira pukul 1 tengah hari dan 3 petang.

Justeru, Syafri dituduh di bawah Seksyen 12(2) akta tersebut dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama iaitu penjara lima tahun atau seumur hidup dan minimum 10 sebatan.

Pada prosiding pertama sebutan, keputusan representasi yang dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada 5 Ogos tahun lalu dikemukakan kepada mahkamah selepas pertuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung atau penjara seumur hidup dibacakan dan pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh direkodkan.

Kemudian, Daniel dalam mitigasinya memohon mahkamah mempertimbangkan faktor pengakuan yang dibuat oleh anak guamnya untuk memberikan hukuman ringan kerana menjimatkan masa dan kos.

“Selain itu, tertuduh memberikan kerjasama yang baik kepada polis dalam siasatan yang dijalankan. Anak guam juga berjanji untuk fokus dalam kehidupannya dan mencari pekerjaan yang baharu dan tidak haram bagi menyara ketiga-tiga anaknya.

“Malah, saya juga memohon diberikan satu peluang supaya dia dapat membetulkan semua kesilapannya. Tertuduh sudah menjalani reman di penjara sejak tarikh tangkap pada 25 April 2020. Selama tempoh penahanan yang berpanjangan tertuduh berasa sengsara dan keluarga merasa sedih.

“Mohon mahkamah memberikan hukuman pemenjaraan yang singkat dan berjalan serentak terhadap kedua-dua pertuduhan. Mohon juga hukuman sebat yang minimum,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Zamriah Zarifah Aris menyarankan supaya mahkamah mempertimbang faktor kesalahan tertuduh yang serius iaitu melibatkan pemilikan dadah.

“Mahkamah juga perlu mengutamakan kepentingan awam berbanding kepentingan (peribadi) tertuduh sendiri. Berkenaan rayuan, sebarang kesulitan yang dilalui tertuduh adalah akibat perbuatannya sendiri, dia seharusnya memikirkan kesan terhadap kesalahan sebelum melakukannya.

“Hukuman mestilah memberikan kesan dan teladan kepada masyarakat. Faktor beban oleh tertuduh tidak memberi keistimewaan kepadanya. Justeru, pendakwaan memohon hukuman berat dikenakan agar dapat memberikan pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat,” tegasnya.

Hakim Julia Ibrahim kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan selepas menimbang dan mengambil kira semua mitigasi dan faktor dikemukakan oleh kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.

“Mahkamah juga percaya tertuduh kesal dan meningsafinya, umur tertuduh secara relatifnya masih ada peluang cerah untuk membaikinya.

“Mahkamah berpandangan hukuman yang sesuai dalam kes ini adalah bagi kedua-dua pertuduhan adalah penjara 8 tahun dan 10 sebatan. Hukuman berjalan serentak dari tarikh ditahan,” tuturnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN