'Cikgu Chandra' tak mengaku buat hantaran komunikasi palsu

‘Cikgu Chandra’ tak mengaku buat hantaran komunikasi palsu

Komunikasi palsu
S. Chandrasegaran bersama Muhammad Nor Tamrin tiba di mahkamah bagi menghadapi pertuduhan hantaran komunikasi dekat Mahkamah Sesyen, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Cikgu Chandra mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan membuat hantaran komunikasi palsu dalam akaun TikToknya pada tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat S. Chandrasegaran selepas mendengar pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan bekas cikgu sekolah swasta itu didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat palsu menerusi akaunnya ‘cikguchandra3’ yang berbunyi, kau ni sebenarnya bukannya banduan terhormat bekas banduan terhormat kau ni sebenarnya badut terhormat untuk parti politik DAP dan untuk Kerajaan Madani ini yang betul.

Justeru, dia dituduh dengan niat untuk menganiaya orang lain. Hantaran tersebut dikatakan didengar dan dilihat pada 30 Disember tahun lalu kira-kira pukul 6.30 petang dekat sebuah restoran dalam pusat beli-belah di Petaling.

Oleh demikian, bapa kepada dua orang anak itu didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Sabit kesalahan Chandrasegaran, 46, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun dan didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal kemudian mencadangkan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000.

Beliau turut mengemukakan syarat tambahan iaitu lapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta larangan mengganggu saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan.

Bagaimanapun, Peguam, Muhammad Nor Tamrin menyatakan jumlah jaminan itu sebagai keterlaluan apabila ia hanya bertujuan untuk memastikan kehadiran anak guamnya sepanjang perbicaraan.

Tambahnya, Chandrasegaran juga tidak lagi bekerja dan  tiada pendapatan tetap setiap bulan sejak disahkan menghidap kanser tekak selain berstatus hilang upaya kekal.

“Saya merujuk kepada kes Samirah Muzaffar yang mana dalam kes tersebut mahkamah menekankan apabila tiada sebarang keterangan tertuduh untuk melarikan diri.

“Tertuduh (Chandrasegaran) tidak berisiko untuk melarikan diri. Kalau lihat hari ini tertuduh hadir sendiri ke mahkamah. Oleh demikian tertuduh dengan rasa rendah diri memohon ikat jamin yang berpatutan dan berperikemanusiaan diberikan kepada tertuduh,” katanya.

Hakim Norazlin Othman kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat-syarat tambahan yang dikemukakan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Oktober depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN