Suami isteri didakwa tawar pakej haji tanpa lesen sah

Suami isteri didakwa tawar pakej haji tanpa lesen sah

MHD Lihan Sabari (kiri) dan isterinya Noor Nisrin hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa pertuduhan menawarkan pakej haji dengan menerima transaksi bayaran RM81,000 daripada seorang wanita tanpa lesen pengelola jemaah haji yang sah pada Februari hingga April lalu. - UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menawarkan pakej haji dengan menerima transaksi bayaran RM81,000 daripada seorang wanita tanpa lesen pengelola jemaah haji yang sah pada Februari hingga April lalu.

Tertuduh, Mhd Lihan Sabari, 60 dan isterinya, Noor Nisrin Mahlim, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama telah membuat transaksi perniagaan mengelolakan perjalanan ke Tanah Suci bagi maksud menunaikan haji dengan menerima bayaran sebanyak RM81,000 daripada seorang wanita tanpa lesen pengelola jemaah haji yang sah.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Besar, Kawasan Hijau, Mantin dekat Nilai pada 4 Februari hingga 7 April 2025.

Sehubungan itu, mereka telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 27(1)(a) Akta Tabung Haji 1995 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 27(2) (a) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan bagi kesalahan pertama boleh didenda tidak kurang RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua, boleh didenda tidak kurang RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A Aziz menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin warga tempatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. 

Peguam, Mohd. Razak Sharif yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan yang rendah memandangkan Mhd Lihan adalah pekebun sawit dengan pendapatan RM2,500 hingga RM3,000 sebulan manakala isterinya suri rumah.

“Tertuduh juga membuka kelas pengajian agama Islam secara percuma di Batu Pahat, Johor dan menanggung kos operasinya selain masih menanggung tiga daripada lima anak yang masih bersekolah,” katanya.

Mohd. Razak berkata, anak tertuduh hadir untuk menjamin kedua ibu bapa mereka hari ini  selain pasangan itu  bersetuju dengan beberapa syarat tambahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis terdekat di Yong Peng, Batu Pahat setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 11 Ogos depan.

Media sebelum ini melaporkan, hasrat 47 jemaah warga emas Malaysia untuk menunaikan haji berkecai apabila ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan.

Dilaporkan kesemua warga emas itu dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Mekah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tiada visa haji.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan laporan polis yang dibuat oleh waris mangsa di Mantin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN