KUCHING: Tiada DNA asing dikesan pada senjata dalam kes kematian suami isteri di Sri Aman.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata ia hasil daripada
laporan kimia dan patologi daripada doktor yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat guru besar dan jururawat itu.
“Hasil siasatan mendapati senjata yang digunakan hanya mengandungi DNA kedua-dua mangsa dan tiada DNA asing,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, pagi tadi.
Selain itu, katanya pemeriksaan di lokasi kejadian juga tidak menemukan sebarang tanda pencerobohan atau kehilangan barangan milik keluarga, sekali gus membawa kepada kesimpulan awal bahawa kejadian berkenaan hanya melibatkan pasangan suami isteri berkenaan.
“Siasatan awal juga mendapati mangsa lelaki dipercayai mengalami kemurungan sejak kebelakangan ini selepas pertukaran jawatan, berdasarkan keterangan saksi,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamad Zainal berkata tiada siasatan tambahan diperlukan buat masa ini kecuali menunggu laporan forensik ke atas telefon bimbit kedua-dua mangsa.
“Laporan forensik ke atas telefon bimbit mangsa masih diperlukan bagi membantu mengenal pasti motif sebenar kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga telah merakam kira-kira 30 keterangan daripada pelbagai saksi termasuk ahli keluarga, rakan, sahabat, guru serta jiran mangsa.
Sebelum ini, hasil bedah siasat pada 15 Januari lalu mendapati terdapat 11 luka tikaman pada bahagian leher dan dada mangsa lelaki manakala isterinya mengalami luka tikaman di leher.
Pasangan berusia 45 dan 44 tahun itu ditemukan meninggal dunia di rumah mereka di Taman Mutiara, Jalan Brayun pada 14 Januari lepas.
Mereka meninggalkan tiga orang anak masing-masing berusia berusia 17, 16 dan sembilan tahun. – UTUSAN










