BAGAN SERAI: Hasrat seorang anak mahu membawa ibunya berjalan-jalan tidak kesampaian apabila wanita itu maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth dekat Teluk Medan di sini, semalam.
Lebih menyayat hati anak berkenaan, impian ibunya untuk menikmati daging dendeng serta buah strawberi yang dipesan, juga tidak kesampaian selepas dia dan suaminya terkorban dalam nahas membabitkan dua buah kenderaan kira-kira pukul 4.42 petang.
Dalam kejadian itu, Sahbuddin Bakar, 65, dan isterinya, Noraziyah Jahari, 51, maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kereta jenis Toyota Innova.
Anak sulung pasangan berkenaan, Muhammad Zikri Shahbuddin, 32, berkata, dia baru pulang dari kerja pada tengah hari sebelum sempat bertemu ibunya yang ketika itu sedang memasak.
Menurutnya, dia ada memberitahu ibunya cadangan membawa wanita itu keluar berjalan-jalan pada petang sebelum tidur kerana terlalu penat selepas bekerja.
“Mak kemudian kejutkan saya dan beritahu dia mahu keluar berjalan dengan ayah, tetapi tidak memaklumkan hendak pergi ke mana.
“Tidak lama selepas itu, adik bongsu datang memberitahu mak dan ayah sudah meninggal dunia akibat kemalangan. Masa itu saya benar-benar tergamam dan tidak tahu hendak cakap apa,” katanya ketika ditemui di Hospital Parit Buntar semalam.
Muhammad Zikri berkata, dia amat terkilan kerana beberapa hasrat ibunya tidak sempat ditunaikan, termasuk menikmati daging dendeng yang dibelinya sebelum kejadian.
Katanya, arwah juga sempat berpesan kepada anak keduanya yang pergi ke Cameron Highlands supaya membelikan buah strawberi.
“Mak memang teringin makan daging dendeng dan saya sudah belikan, tetapi dia tidak sempat menjamahnya. Selain itu, dia juga pesan dekat adik supaya beli strawberi. Namun semuanya tidak sempat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Jafri Md Zin mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jenazah Sahbuddin dan Noraziyah disolatkan di Masjid Titi Serong, Parit Buntar semalam sebelum dikebumikan. – UTUSAN










