Semakan sabitan, hukuman Peter Anthony tangguh 20 Ogos

Semakan sabitan, hukuman Peter Anthony tangguh 20 Ogos

PETER ANTHONY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak pembelaan yang mewakili bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony memohon agar permohonan semakan yang difailkan Mac lalu dapat didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan sebelum Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan, yang dijangka akan berlaku pada September ini.

Ini kerana, menurut peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdullah, anak guamnya masih lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap dan sekiranya semakan tersebut ditolak, Peter akan terlepas peluang untuk mempertahankan kedudukannya. 

Terdahulu, panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah bersidang bersama-sama Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Dr. Lim Hock Leng memaklumkan pihak-pihak terlibat bahawa prosiding pada hari ini perlu ditangguhkan kerana mereka memerlukan alasan penuh penghakiman sebelum mendengar permohonan tersebut.

“Melihat kepada hujahan dan afidafit yang difailkan, pihak-pihak ada menyentuh mengenai penghakiman ringkas. Jadi kami telah berbincang dan sepakat bahawa kami perlu melihat alasan penuh penghakiman,” kata Hakim Azman.

Panel terbabit kemudian menetapkan 20 Ogos ini untuk pendengaran semakan itu.

Pada 14 Mac lalu, Peter memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Peter sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 4 Mac lalu selepas keputusan tersebut.

Menurut afidavit yang difailkan, Peter mendakwa panel tiga hakim Mahkamah Rayuan gagal mengambil kira bukti baharu yang dimasukkan sewaktu perbicaraan kes masih berjalan.

Bukti baharu itu ialah laporan polis yang dibuat oleh saksi pendakwaan ketiga yang juga rakan Peter, Mohd. Shukur Mohd Din.

Menurut afidavit tersebut, bukti baharu mampu menimbulkan keraguan munasabah sekali gus membolehkannya dibebaskan daripada sabitan salah dan hukuman penjara.

Sehubungan itu, Peter memohon agar semakannya dibenarkan dan sabitan salah serta hukumannya diketepikan.

Pada 26 Mei 2022, Peter didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Mahkamah Sesyen kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000. Peter telah membayar denda tersebut.

Pada 18 April 2023, Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan sabitan salah tersebut dan hukuman yang dikenakan terhadapnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN