Siti Kasim menang saman, Jawi diperintah bayar ganti rugi RM160,000

Siti Kasim menang saman, Jawi diperintah bayar ganti rugi RM160,000

SITI Kasim hadir bagi keputusan kes saman terhadap JAWI dan 22 pihak lain berhubung tangkapan secara salah yang dibuat terhadapnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam dan aktivis, Siti Kasim berjaya dalam samannya terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), 14 pegawainya dan lapan individu lain berhubung penahanan salah serta penahanan secara tidak sah dalam satu serbuan sembilan tahun lalu. 

Hakim Mahkamah Tinggi, Su Tiang Joo memerintahkan defendan membayar ganti rugi berjumlah RM160,000 kepada Siti Kasim yang merangkumi RM100,000 sebagai ganti rugi teladan dan RM60,000 ganti rugi teruk, di samping kos guaman sebanyak RM100,000.

Dalam penghakimannya, Hakim Tiang Joo menyatakan bahawa plaintif berjaya membuktikan dakwaannya atas imbangan kebarangkalian bahawa beliau telah ditahan dan dipenjarakan secara salah oleh pegawai Jawi ketika beliau keluar dari dewan acara berkenaan.

“Pada hemat saya, telah berlaku salah guna kuasa awam oleh pihak defendan dalam menjalankan serbuan serta tindakan menahan peserta dalam dewan semasa satu acara negeri, tanpa memastikan kuasa yang dimiliki digunakan secara sah, hingga menyebabkan peserta berdepan ketakutan dan ketidakselesaan yang tidak perlu,” katanya.

Plaintif yang nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim memfailkan saman itu pada September 2019, susulan tindakan Jawi yang didakwa menangkap dan menahannya secara salah ketika serbuan di sebuah majlis makan malam kutipan dana persendirian pada 3 April 2016 sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. 

Beliau mendakwa tindakan Jawi itu sama dengan pemenjaraan palsu, salah guna jawatan awam dan penafian hak Perlembagaan untuk kebebasan peribadi.

Menurutnya, beliau ketika itu hanya menjalankan tugas sebagai peguam dan tidak pernah menghalang mana-mana pegawai agensi itu daripada melaksanakan tugas mereka, malah tidak melakukan sebarang kesalahan.

Siti Kasim turut menegaskan bahawa Jawi tidak mempunyai bidang kuasa atau kuasa siasatan terhadap kesalahan-kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding itu, Siti Kasim diwakili peguam A. Saha Deva manakala pihak defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Nur Irmawatie Daud.

Pada 21 Ogos 2020, Mahkamah Majistret di sini melepas dan membebaskan Siti Kasim daripada pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam kejadian yang berlaku di sebuah hotel setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan pada akhir kes pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN