Kerajaan perlu bayar ganti rugi RM274,374 kepada Siti Kasim, anak guam

Kerajaan perlu bayar ganti rugi RM274,374 kepada Siti Kasim, anak guam

SITI KASIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Kerajaan Malaysia untuk membayar ganti rugi berjumlah RM274,374 kepada peguam Siti Kasim dan anak guamnya kerana penahanan salah, tujuh tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohammed Apandi memutuskan demikian selepas membenarkan sebahagian tuntutan saman oleh Siti Kasim atau nama penuhnya Siti Zabedah Kasim dan anak guamnya, Anis Nur Izzaty Ruslan.

Siti dan Anis memfailkan saman tersebut pada 29 Januari 2021,dengan menamakan 30 defendan, termasuk 22 pegawai polis yang terbabit dalam kejadian terbabit.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat, bekas Pengarah Hospital Kajang Dr. Md Fikri Abu Bakar, Hospital Kajang, Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri, Menteri Kesihatan dan kerajaan.

Ketika membaca penghakiman ringkasnya, Arziah menyatakan serbuan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 21 Jun 2018 di kediaman aktivis itu yang dilakukan tanpa sebarang niat untuk menghubungi penghuni rumah terlebih dahulu, adalah satu pencerobohan.

Mahkamah turut menyatakan, adalah fakta yang tidak dipertikaikan bahawa salah seorang pegawai polis yang terbabit dalam serbuan itu mengakui tidak membaca laporan polis berkaitan kes terbabit sebelum serbuan dijalankan.

Ujar Arziah, sebarang kemasukan ke premis persendirian tanpa kebenaran atau kuasa undang-undang adalah satu pencerobohan.

Dalam satu kejadian berbeza, Siti telah ditangkap ketika menjalankan tugas profesionalnya walaupun polis tidak mempunyai asas untuk menahannya,

“Tindakan defendan menunjukkan sikap cuai yang melampau dan tidak mengendahkan hak perlembagaan plaintif,” katanya.

Mahkamah selanjutnya memutuskan bahawa penahanan Anis antara kira-kira jam 9 malam pada 23 Jun 2018 hingga 3 pagi keesokan harinya adalah tidak sah kerana tiada asas untuk penahanannya.

“Tindakan defendan telah melanggar hak perlembagaan plaintif kedua terhadap kebebasan diri di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan. Keterangan yang dikemukakan di hadapan mahkamah ini mengenai salah laku dalam jawatan awam adalah memuaskan,” katanya.

Arziah menegaskan bahawa pegawai-pegawai yang terlibat telah bertindak dengan sikap tidak peduli dan secara melulu.

Mahkamah kemudian memerintahkan kerajaan membayar RM120,625 sebagai ganti rugi am kepada Siti dan RM53,750 kepada Anis.

Kesemua defendan juga diperintahkan membayar ganti rugi teladan bersama berjumlah RM100,000, dan kos sebanyak RM50,000.

Pada prosiding hari ini, kerajaan dan defendan lain diwakili Peguam Persekutuan Anis Najwa Nazari manakala peguam Surendra Ananth bertindak bagi pihak Siti dan Anis.

Dalam pernyataan tuntutan, mereka menyatakan Anis, yang telah mendapatkan bantuan dan perlindungan di rumah Siti kerana masalah keluarga, telah tinggal di rumah itu pada 21 Jun 2018, ketika Siti menghadiri satu persidangan.

Plaintif berkata, sembilan anggota polis berpakaian preman (semuanya dinamakan dalam saman) telah memasuki rumah Siti dengan memecahkan gril dan pintu utama.

Plaintif mendakwa pihak polis telah membawa Anis secara tidak sah, yang ketika itu bersembunyi di dalam bilik air, ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Pada 23 Jun 2018, Siti pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang selepas mengetahui Anis telah ditahan secara tidak sah di situ.

Siti mendakwa tidak dibenarkan berjumpa dengan anak guamnya dan kira-kira jam 11 malam, beliau sendiri telah ditahan polis atas alasan telah menculik Anis dan menghalang polis daripada menjalankan tugas.

Permohonan reman oleh polis kemudiannya ditolak oleh Majistret namun Siti hanya dibebaskan lewat petang hari yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN