PETALING JAYA: Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan meneliti cadangan penubuhan jawatankuasa khas anak muda di masjid bagi memperkukuh peranan belia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pihaknya menyokong seruan Perdana Menteri yang mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas anak muda di setiap masjid.
Katanya, ia untuk memberi ruang kepada belia merancang dan melaksanakan program yang memakmurkan masjid sebagai pusat pembangunan ummah serta pembinaan akhlak generasi muda.
“Masjid merupakan pusat tarbiah dan pembinaan sahsiah ummah berlandaskan contoh Rasulullah SWT melalui Masjid Nabawi dan wajar diperkasakan sebagai ruang mesra anak muda yang beradab, inklusif serta patuh syariat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya setiap masjid mewujudkan jawatankuasa khas orang muda bagi memberi ruang kepada golongan belia merancang serta melaksanakan program kemasyarakatan dan keagamaan.
Beliau berkata, penglibatan aktif anak muda penting bagi memastikan masjid terus berperanan sebagai pusat pembangunan ummah serta institusi yang sentiasa diimarahkan.
Zulkifli berkata, pelbagai inisiatif telah dijalankan termasuk Program Kariah Madani serta Kuliah Zuhur yang disampaikan oleh asatizah muda di Surau Parlimen.
Katanya, Penglibatan belia juga diperluas melalui Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (HAMKA) pada Februari ini yang dijangka menghimpunkan 1,000 asatizah muda bagi memperkasakan pembangunan ummah dan penyebaran ilmu berimpak. – UTUSAN










