PETALING JAYA: Sebanyak enam syor penambahbaikan tatakelola membabitkan pelaksanaan jurunikah di luar kariah yang ditetapkan di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan dibentangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Antara cadangan ialah pengemaskinian Garis Panduan Pelantikan dan Penamatan Penolong Pendaftaran Perkahwinan, Penceraian dan Ruju Orang Islam (PPNCR); mewujudkan tatacara pembayaran upah PPNCR di peringkat JAWI Labuan.
Ia bagi tujuan memudahkan audit dalaman dan rujukan jabatan secara berkala serta mewujud dan mengeluarkan satu borang dikeluarkan JAWI Labuan yang disediakan bagi Pendaftar untuk membenarkan jurunikah melaksanakan akad nikah di luar kariah.
Cadangan lain ialah mewujudkan dan mengeluarkan satu borang dikeluarkan oleh JAWI Labuan bagi jurunikah yang ingin melaksanakan akad nikah di luar kariah disebabkan ketiadaan jurunikah di kawasan berkenaan serta mengeluarkan penggiliran tugas jurunikah yang tidak dapat melaksanakan akad nikah di kariah asal disusun bagi memastikan kelancaran perkhidmatan perkahwinan.
Syor akhir ialah semua PPNCR disaran menandatangani Aku Janji setiap tahun dan mengikuti kursus pemantapan etika perkhidmatan serta tatakelola kerja.
Syor ini timbul disebabkan kelonggaran dan kelemahan pelaksanaan akad nikah di luar kariah yang ditetapkan JAWI Labuan berdasarkan fail Kertas Penyiasatan Awal (KPA) yang dibuka pada 2024 dan penyiasatan tatakelola adalah langkah mencegah penyelewengan salah laku bagi memastikan sistem pengurusan perkahwinan di bawah JAWI Labuan sentiasa mematuhi peraturan, mengelakkan konflik kepentingan dan menegakkan integriti institusi agama.
Pengarah SPRM Labuan, Muhammat Azis Malmod telah membentangkan syor tersebut yang disambut baik oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan JAWI Labuan, Mohd Suhaimi Mohd Yusof yang diadakan di pejabat JAWI Labuan di sini, semalam.
Turut diadakan sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara SPRM Labuan dan Pengarah Kanan JAWI Labuan.
Sesi pembentangan turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah SPRM Labuan, Augustine S.Manson, Ketua Cawangan Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga Labuan, Nur Aida Mohammad dan pegawai-pegawai Unit Penyiasatan Tatakelola SPRM Labuan. – UTUSAN










