SHAH ALAM: Reman seorang pemuda warga asing disambung tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan terhadap kes menyerang dan mengelar bekas kekasihnya di sebuah universiti swasta di Subang Jaya.
Perintah lanjutan reman ke atas suspek berusia 21 tahun itu dikeluarkan Majistret Zur Azureen Zainalkefli di Mahkamah Majistret di sini terhadap permohonan yang dikemukakan polis mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
Turut menghadiri prosiding itu, peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi; Chew Sin Yee; Mohd. Safwan Saleh dan M. Partiben sebagai peguam pemerhati keluarga mangsa.
Utusan Malaysia melaporkan seorang penuntut wanita cedera selepas diserang dan dikelar bekas teman lelakinya dengan pisau, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 6.30 petang.
Siasatan awal mendapati wanita asing berusia 20 tahun itu cedera dikelar di leher selepas diserang suspek yang juga warga asing.
Mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan ditempatkan di zon merah bagi mendapatkan rawatan lanjut dan dilaporkan stabil. – UTUSAN