PASIR MAS: Seorang pemilik salun, suaminya dan tiga lagi individu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mengedar lebih 20 kilogram (kg) dadah jenis pil kuda di tiga lokasi dekat sini, pada 27 Jun lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh iaitu Mohd. Faizal Ismail, 35; isterinya, Nur Ayu Fatihah Zaudi, 34, yang merupakan pemilik salun dan kedai makan, Mohamad Farid Ismail, 33; Mohd. Khairu Azani Mohd. Lawi, 39, dan Mohamad Asmawi Janudin, 25, sejurus selepas pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Syed Farid Syed Ali.
Mohd. Faizal merupakan abang kepada Mohamad Farid dan mereka berdua adalah bapa saudara kepada Mohamad Asmawi.
Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Faizal didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 115 gram di dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia di lorong simpang tiga Jalan Gajah Mati dekat Kampung Banggol Chicha di sini kira-kira pukul 11.15 pagi pada 27 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Faizal dan Nur Ayu Fatihah dituduh mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 112 gram di sebuah rumah di Kampung Banggol Chicha di sini kira-kira pukul 11.30 pagi pada hari yang sama.
Berdasarkan pertuduhan ketiga, kelima-lima tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 19,866 gram di kawasan ladang lembu di belakang sebuah rumah di Kampung Banggol Chica di sini kira-kira pukul 4.30 petang pada hari tersebut.
Kelima-lima tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimi manakala Mohd. Faizal bersama Nur Ayu Fatihah diwakili peguam, Mohd. Norazihan Adnan.
Tiga lagi tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 26 Oktober ini sebutan semula kes dan laporan kimia.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, taktik licik sepasang suami isteri yang merupakan pemilik sebuah kedai makan dengan menyembunyikan dadah jenis pil kuda seberat 19.86 kilogram (kg) di dalam timbunan najis lembu di sebuah kandang di Kampung Bukit Tunku di sini terbongkar dalam enam siri serbuan pada minggu lalu.
Dadah itu dirampas selepas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menahan seorang lelaki berusia 34 tahun semasa memandu sebuah kereta jenis Perodua Axia di Jalan Gajah Mati Banggol Chicha di sini pada 27 Jun lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Mat Zani @Mohd Salahuddin Che Ali berkata, pemeriksaan di dalam kereta suspek menjumpai sebanyak 115 gram pil kuda.
Menurutnya, susulan penahanan suspek itu, polis menahan isterinya dan empat lelaki yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 39 tahun dalam serbuan di beberapa rumah di sekitar Pasir Mas, Wakaf Bharu di Tumpat.
“Pemeriksaan di rumah pasangan suami isteri di Banggol Chicha di sini menemukan pil kuda seberat 112 gram.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, polis menyerbu kandang lembu di belakang sebuah lagi rumah pasangan suami isteri itu di Kampung Bukit Tunku di sini sebelum menjumpai sebanyak 19.86 kg pil kuda disembunyikan di dalam timbunan tahi lembu,” katanya. – UTUSAN










