SHAH ALAM: Seorang lelaki yang didakwa membunuh rakan serumahnya pada Rabu minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Tertuduh, Faisal Abdul Aziz, 41, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Muhammad Fakhrullah Pauzihal Ali, 33, dekat sebuah rumah di Kampung Batu Gajah, Sungai Pelong di Sungai Buloh kira-kira pukul 11.26 malam, 25 Jun lalu.
Fasal dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau dipenjara 30 hingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman gantung.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliaanisa Khairus Masnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kemudian, Majistret Mohamed Redza Azhar Reza menetapkan 1 Oktober depan sebagai tarikh sebutan laporan kimia dan patologi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, bilik bersepah dipercayai menjadi punca pergaduhan membabitkan dua rakan hingga salah seorang daripada mereka maut ditikam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, kedua-dua mereka menetap bersama sejak kira-kira enam bulan lalu.
Mohd. Hafiz berkata, saringan air kencing mendapati suspek positif dadah. – UTUSAN