PETALING JAYA: Ibu kanak-kanak autistik, Ismanira Abdul Manaf menafikan pernah berselisih dengan jirannya yang juga saksi pendakwaan ke-16 (SP16), pada waktu tengah hari Zayn Rayyan Abdul Matin dilaporkan hilang, 6 Disember 2023.
Katanya, semasa mencari anaknya, dia tidak bertemu dengan mana-mana individu termasuk jiran aras sama di blok R, Rashidah Rajali.
Ismanira turut menafikan dia sempat menukar pakaian semasa singgah di rumah, sebelum bergegas turun untuk mencari Zayn Rayyan yang hilang.
Penafian itu dilakukan Ismanira semasa sesi pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, hari ini.
Pada Februari lalu, Rashidah semasa memberi keterangan memaklumkan berselisih dengan Ismanira buat pertama kali di tangga blok tersebut pada pukul 12.15 tengah hari ketika menghantar anaknya ke sekolah.
Dia juga mengatakan Ismanira memakai pakaian yang berbeza semasa berselisih buat kali kedua pada pukul 12.35 tengah hari.
Menyambung keterangannya, Ismanira, 30, berkata, selepas menyedari kehilangan, dia tidak masuk ke dalam rumahnya di tingkat dua, sebaliknya hanya membuka pintu, meletakkan beg sekolah Zayn Rayyan dan dua beg plastik berisi barangan yang dibeli di sebuah pasar raya, sebelum mula mencari anaknya.
“Saya berhenti di setiap kedai yang berada di blok depan Apartmen Idaman, kami (Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari) tinggalkan nombor telefon dan masuk mencari di setiap kedai di situ dan ada berjumpa dengan orang ramai.
“Mungkin ada (orang dalam blok). Dalam keadaan begitu, saya tidak berselisih dekat dengan orang dan blok ini pada waktu itu, waktu bekerja, tidak ramai orang kecuali di bahagian kedai dan gerai jadi, saya berhenti tanya orang-orang situ,” katanya.
Ismanira berkata, sewaktu mencari Zayn Rayyan, dia sempat menghubungi suaminya yang kemudian turut serta mencari anak mereka.
Isnin lalu, Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu. Hari ini merupakan hari ketiga Ismanira memberi keterangan bela diri secara bersumpah.
Sebelum ini, pasangan itu secara bersama didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023 pukul 9.55 malam di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartmen sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










