JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori warga emas didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kerosakan terhadap kemudahan awam, Selasa lalu.
Majistret Nur Fatin Mohamad Farid membuat keputusan tersebut selepas tertuduh, Chew Ah Sing, 69, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.
Beliau turut memerintahkan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan selain lesen memandu diendorskan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Ah Seng didakwa gagal menurunkan bahagian ‘bucket’ kenderaan berat yang dipandunya sebelum melanggar kabel elektrik sehingga mengakibatkan kerosakan terhadap tiga tiang elektrik, sebatang tiang lampu isyarat, sebuah kamera litar tertutup (CCTV) dan sebuah pondok bas di Kilometer 30.7, Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas pada pukul 3.20 petang, 10 Jun lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 12 bulan, selain denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 bagi kesalahan pertama, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnim Saleh, manakala tertuduh diwakili peguam bela Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sharmaine Fairuz Mohd. Zulkifli.
Terdahulu, Sharmaine memohon hukuman minimum kerana tertuduh hanya mempunyai berpendapatan RM2,000 sebulan dan menanggung isteri dan anak yang masih belajar. – UTUSAN