Warden tahfiz mengaku tampar pelajar makan roti

Warden tahfiz mengaku tampar pelajar makan roti

MOHD. Norzaizhul Zainudin diiring polis keluar dari Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang warden lelaki sebuah pusat tahfiz didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menampar seorang pelajar lelaki, April lalu. 

Mohd. Norzaizhul Zainudin, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa yang berusia 16 tahun dengan cara menampar pada bahagian kiri dan kanan muka mangsa. 

Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 3.45 petang, pada 26 April lalu di asrama tahfiz itu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum hingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya. 

Mahkamah memutuskan tertuduh dikenakan denda sebanyak RM1,200 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.  Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi manakala tertuduh diwakili peguam Masliela Ismail. 

Difahamkan, tertuduh menampar mangsa selepas mengetahui pelajar itu telah makan roti tanpa kebenaran. Roti yang dimakan pelajar itu merupakan sarapan pelajar tahfiz itu untuk keesokan paginya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN