SEREMBAN: Suspek utama kes penemuan mayat seorang wanita yang ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Jalan Pedas-Linggi, Rembau semalam akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban esok bagi tujuan permohonan reman.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner, Muhammad Idzam Jaafar berkata, suspek lelaki berusia 51 tahun itu telah ditahan kira-kira pukul 3.09 petang di Genting Sempah, hari ini.
“Tangkapan terbaharu itu dibuat bagi membantu siasatan kes berkenaan yang menggemparkan orang awam sebelum ini.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban bagi permohonan tahanan reman untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Idzam berkata, bedah siasat ke atas mayat tersebut telah dijalankan di Hospital Rembau hari ini.
“Pihak kami masih belum boleh mengesahkan mayat tersebut merupakan mayat Suri. Namun, hasil bedah siasat yang dilakukan, punca kematian diklasifikasikan sebagai ‘undetermined’ kerana keadaan jasad yang telah mereput,
“Namun, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap mangsa dan ahli keluarganya telah dijalankan” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan terperinci termasuk soal siasat terhadap suspek serta pengambilan keterangan pihak lain hanya akan bermula esok selepas proses reman diperoleh.
“Kami tidak mahu tergesa-gesa kerana bimbang berlaku kesilapan fakta yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.
Hari ini media melaporkan polis menahan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes penemuan mayat seorang wanita dalam sebuah beg yang ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Jalan Pedas-Linggi, Rembau, Negeri Sembilan semalam.
Terdahulu seorang seorang lelaki berusia 41 tahun telah ditahan di Melaka bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Permohonan reman terhadap lelaki berkenaan juga telah dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










