KUALA LUMPUR: Rayuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung permohonan untuk menangguhkan sementara perbicaraan kes saman oleh bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther atas dakwaan serangan seksual yang akan didengar di Mahkamah Rayuan pada Rabu ini.
Pada 4 Jun lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Anwar untuk menangguhkan perbicaraan tersebut yang dijadualkan bermula pada 16 Jun ini.
Menurut peguam, Datuk Seri Rajasegaran Krishnan yang mewakili Ahli Parlimen Tambun itu, pada 10 Jun ini (Rabu), Mahkamah Rayuan akan mendengar dahulu permohonan bagi penangguhan interim (sementara).
“Rayuan bagi penangguhan (penuh) akan didengar pada 21 Julai ini.
“Mahkamah Rayuan turut menetapkan pengurusan kes bagi rayuan berhubung permohonan Perdana Menteri untuk merujuk persoalan undang-undang berkaitan kekebalan,”kata peguam itu ketika dihubungi media.
Dua hari lalu, sebelum menolak permohonan Ahli Parlimen Tambun itu untuk menangguhkan perbicaraan, Hakim Roz Mawar Rozain turut menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan ke Mahkamah Persekutuan.
Persoalan-persoalan itu antara menyentuh mengenai kekebalan seseorang Perdana Menteri daripada tindakan saman sivil.
Hakim Roz Mawar Rozain ketika membacakan penghakiman ringkasnya menyatakan, dakwaan Anwar bahawa saman yang difailkan oleh Muhammed Yusoff sebelum Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri merupakan satu pencabulan terhadap kebebasan peribadi.
Tambah hakim itu, permohonan Anwar tidak mengandungi sebarang isu yang membolehkan persoalan undang-undang dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Selain itu, hakim itu turut menyifatkan tindakan Anwar untuk merujuk lapan persoalan ke Mahkamah Persekutuan bertujuan mencipta kekebalan baharu yang tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan.
Selepas menolak permohonan Anwar, Hakim Roz Mawar turut memerintahkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membayar kos sebanyak RM20,000.
Menerusi permohonan yang difailkan pada 23 Mei lalu melalui firma peguam yang baharu dilantik, Tetuan Zain Megat & Murad, Anwar memohon agar Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.
Anwar turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Anwar juga mahu mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar hak beliau untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang, seperti diperuntukkan dalam Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan, terutamanya kerana beliau mendakwa saman tersebut merupakan penyalahgunaan proses mahkamah. – UTUSAN










