KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat perunding didakwa atas 10 pertuduhan gagal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pemberian rasuah RM100,000 berkaitan tuntutan Program Penjana di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Muhammad Ispandi Othman, 54, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut kesemua pertuduhan, Muhammad Ispandi didakwa yang telah diberikan suapan wang tunai RM10,000 bagi setiap program Penjana di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) daripada seorang pengarah urusan syarikat perunding yang lain.
Suapan itu didakwa diberikan melalui seorang perantara bagi membantu mempercepatkan tuntutan program tersebut di antara Februari 2021 dan Julai 2022 di beberapa lokasi sekitar ibu negara termasuk di Jalan Yap Ah Shak, Taman Bukit Maluri dan Bandar Manjalara.
Bagaimanapun, Muhammad Ispandi didakwa gagal melaporkan penerimaan suapan itu kepada SPRM sebagaimana diwajibkan di bawah undang-undang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Selvam T. Armugom manakala tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Azam Rashid dan Ainul Azirahman Ainuljamal.
Pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM50,000 bagi kesemua pertuduhan namun Azam merayu agar jumlah tersebut dikurangkan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport dan dilarang daripada mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Kes akan disebut semula pada 4 Julai depan. – UTUSAN