SHAH ALAM: Tindakan ahli perniagaan merasuah seorang pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengelak daripada dikenakan tindakan mengundang padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Bagaimanapun, tertuduh Tan Kim Seng, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi suapan wang tunai RM2,000 yang dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi suapan kepada seorang Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar di JAS Putrajaya sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas tertuduh.
Kim Seng, 65, disyaki memberikan suapan itu ketika dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 pada 1.20 tengah hari dekat Kampung Telok Gong, Klang pada 16 Oktober tahun lalu.
Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Sabit kesalahan, warga emas itu boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi.
Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Alimi Mustapha mencadangkan jumlah jaminan antara RM10,000 hingga RM15,000 dikenakan berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Tan Han Sam memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 memandangkan tertuduh memberi kerjasama kepada SPRM ketika proses siasatan.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudiannya menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin yang merupakan warga tempatan beralamat Kuala Lumpur atau Selangor dan membenarkan kesemua syarat tambahan serta menetapkan 22 Mac depan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN










