SHAH ALAM: Tujuh pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan terhadap dakwaan meminta dan menerima rasuah.
Kesemua direman itu disyaki meminta dan menerima kira-kira RM15,000 sebagai balasan bagi mempercepat permohonan dan memperbaharui lesen perniagaan.
Perintah reman sehingga Sabtu ini dikeluarkan oleh Majistret Ameera Mastura Khamis selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari semalam sekitar Lembah Klang.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati kesemua individu berkenaan disyaki menerima wang rasuah berjumlah antara RM500 hingga RM15,000 daripada pemilik syarikat perniagaan.
Ia sebagai balasan bagi mempercepatkan urusan permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan, selain melindungi syarikat-syarikat tertentu daripada dikenakan tindakan undang-undang.
“Siasatan awal mendapati ketujuh-tujuh suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2019 hingga 2023. Kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah antara RM500 hingga RM15,000 setiap bulan melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing daripada dua pemilik syarikat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN










