KUALA LUMPUR: Seorang pencipta kandungan YouTube mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran jelik di platform tersebut berhubung siasatan pihak berkuasa terhadap GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), tahun lalu.
Orang kena saman (OKS), Norizan Yahaya, 63, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, Norizan didakwa secara sedar telah membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik menggunakan akaun Youtube atas nama Zam Yahaya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara pukul 2 dan 6 petang, 15 September 2024 dan kandungan tersebut telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada pukul 8 malam, keesokan harinya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-dua sekali.
OKS juga boleh dikenakan denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhd. Amir Hannif mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin namun peguam bela, Asiah Abdul Jalil yang mewakili OKS memohon jumlah ikat jamin yang lebih rendah,
Peguam terbabit menyatakan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bekerja secara dalam talian menjual makanan kesihatan dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.
Tambah peguam itu, Norizan yang mempunyai lima anak termasuk dua yang masih menuntut di universiti telah hadir secara sukarela untuk membantu siasatan sejak 17 September 2024 dan sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
“Anak guam saya bukan individu yang akan melarikan diri dan sentiasa boleh dihubungi. Kakak kandungnya yang hadir hari ini untuk menjamin tertuduh hanya mampu menyediakan RM6,000,” ujarnya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Julai ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN