KUALA SELANGOR: Sebuah kilang yang menjalankan aktiviti pemprosesan plastik didenda sebanyak RM105,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin atas kesalahan melepaskan efluen sehingga menyebabkan pencemaran pada Disember dua tahun lalu.
Hukuman itu dikenakan ke atas syarikat See Hau Global Sdn. Bhd. oleh Hakim Nurul Mardhiah Mohamed Redza selepas mendapati perusahaan itu yang diwakili pengurusnya selepas mengaku salah atas lima pertuduhan yang dibacakan.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara selama 12 bulan ke atas wakil selaku orang kena saman (OKS) sekiranya gagal membayar denda.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Wandi Yadzid Yaakob berkata, berdasarkan fakta kes, menerusi pemeriksaan pada 27 Disember 2023 pada kilang yang beroperasi di Jalan Kalabakan, Sabak Bernam melepaskan efluen perindustrian melebihi Standard B, Jadual Kelima yang merujuk kepada Peraturan 11(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 ke dalam longkang awam.
“Parameter Keperluan Oksigen Biokimia mempunyai kepekatan 140 miligram perliter (mg/l) melebihi had 50 mg/l, pepejal terampai (960 mg/l berbanding 100 mg/l), besi (18 mg/l berbanding 5 mg/l), minyak dan geris (16 mg/l berbanding 10 mg/l) serta Keperluan Oksigen Kimia (COD) (570 mg/l berbanding 200 mg/l).
“Bagi kelima-lima kesalahan itu, syarikat dituduh di bawah Seksyen 25(3) yang dibaca bersama Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang menetapkan hukuman denda sehingga RM100,000.00 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Jelasnya, hakim memberikan hukuman setimpal berdasarkan pertimbangan ke atas kepentingan awam selepas mendengar rayuan pihak yang terlibat.
Justeru, Wandi Yadzid mengingatkan premis industri supaya mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
“Ketidakpatuhan boleh menyebabkan pihak premis untuk disabitkan dan dibawa ke mahkamah. JAS Negeri Selangor sentiasa serius dan komited dalam menjalankan pemantauan bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap akta tersebut.
“Orang awam adalah dialu-alukan untuk melaporkan aktiviti pencemaran alam sekitar melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel ke [email protected] melalui portal e-aduan JAS di eaduan.doe.gov.my,” ujarnya. – UTUSAN