PUTRAJAYA: Peguam yang mewakili penyanyi dan pelakon Naim Daniel meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung pertuduhan amang seksual yang dihadapi anak guamnya.
Sebaliknya, peguam bela, Mohd. Irwan Sumadi memohon agar orang awam menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah bagi membolehkan proses perundangan boleh dijalankan dengan adil.
Tambahnya, pihaknya percaya, sistem kehakiman di negara ini akan memberi ruang yang sewajarnya untuk pembelaan dan pendakwaan mengemukakan kes masing-masing.
“Kami menyeru kepada semua agar tidak membuat spekulasi. Biarkan kami pihak pembelaan, pendakwaan dan mahkamah menjalankan tugas masing-masing.
“Kepada penyokong-penyokong Naim Daniel, teruskan percaya bahawa keadilan pada akhirnya akan terlaksana,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di pekarangan Istana Kehakiman di sini hari ini.
Selain Mohd. Irwan, Naim turut diwakili peguam bela, Amirul Ridzuan Hanif.
Terdahulu, Naim atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, 28, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di sini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, 19 Mei lalu.
Mengikut pertuduhan, Naim didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 8.56 malam di sebuah hotel di Jalan Harapan, Petaling Jaya, Selangor.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzah Shaharuddin menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Namun selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan berhubung jaminan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Prosiding yang dijalankan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary dalam secara tertutup yang mana hanya pihak terlibat sahaja dibenarkan masuk ke dalam dewan kerana kes itu melibatkan mangsa di bawah umur dan pertuduhan dibuat mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.
Naim yang tiba di mahkamah pada pukul 8.34 pagi ditemani peguam-peguamnya dan juga ibunya disambut media yang telah berkumpul seawal pukul 8 pagi.
Kumpulan media menunggu hampir tiga jam sebelum Naim dan peguam-peguamnya muncul memberikan kenyataan kepada media pada pukul 11.10 pagi.
Terdahulu, Naim ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun. Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya direkodkan.
Siasatan dilakukan susulan laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa, mendakwa anak perempuannya menjadi mangsa gangguan seksual selepas mengenali selebriti itu di sebuah kafe tempat remaja berkenaan bekerja. – UTUSAN