PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya berusia 11 tahun di Desa Aman Puri, Gombak kelmarin.
Penahanan lelaki berusia 30-an itu dilakukan semalam susulan satu laporan dibuat isterinya.
Difahamkan, kejadian itu disedari ibu mangsa selepas memeriksa telefon bimbit suaminya berusia 30 tahun yang menyimpan gambar anak perempuannya dalam keadaan mencurigakan.
Wanita itu kemudian memanggil anaknya dan meminta kanak-kanak itu menceritakan kejadian sebenar sebelum dimaklumkan perbuatan yang dilakukan bapa tirinya itu.
Perbuatan itu didakwa berlaku sejak awal tahun dan wanita berkenaan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga 15 Disember ini.
“Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017,” katanya kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN










