Mohamad Ali tidak mengaku terima ufti setiap bulan RM235,000

Mohamad Ali tidak mengaku terima ‘ufti’ setiap bulan RM235,000

Ufti
MOHAMAD Ali Mohamad meninggalkan Mahkamah Sesyen selepas mendengar pertuduhan rasuah ke atasnya berhubung projek tambak laut Melaka, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara mengaku tidak bersalah menerima ‘ufti’ berkaitan projek tambak laut di Melaka antara April 2024 hingga Januari lalu berjumlah RM235,000 di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad membuat pengakuan demikian selepas mendengar kesemua 20 pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan, Timbalan Ketua Penerangan Parti Bersatu itu dituduh menerima suapan secara berperingkat sekali dan dua kali sebulan antara RM5,000 hingga RM20,000 dari 18 April 2024 hingga 20 Januari lalu sebanyak 15 kali.

Suapan tersebut didakwa diterimanya ketika menjadi Pengarah Urusan Puncak Jasasia Sdn. Bhd. sebagai upah bagi melantik Syarikat Benalec Sdn. Bhd. sebagai kontraktor bagi menjalankan kerja di bawah projek tambakan laut seluas 100 ekar (40.47 hektar) di perairan Kota Laksamana, Melaka.

Beliau didakwa menerima suapan tersebut dekat sebuah premis di Glenmarie, Seksyen U1, di sini.

Malah, dalam 20 pertuduhan sama, Mohamad Ali, 61, juga didakwa menerima tiga buah kereta mewah jenis BMW 730Li, Range Rover dan Bentley Flying Spur yang diterima pada Januari 2017 serta April dan Mei 2024 di premis sama dan sebuah premis lain di Sungai Buloh.

Justeru, dia dituduh bagi kesemua kesalahan tersebut di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib kemudian mencadangkan mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM60,000 serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam, Md. Yunos Shariff yang mewakili Mohamad Ali memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan kepada anak guamnya dan bersetuju dengan jumlah jaminan serta syarat tambahan yang dicadangkan.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian memutuskan jumlah jaminan demikian serta larangan kepada tertuduh daripada mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 Julai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN