Wang RM2.8 juta bukan suapan

Wang RM2.8 juta bukan suapan

BALU Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad ketika hadir bagi pertuduhan bersubahat dalam kes rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa wang berjumlah RM2.8 juta yang diterimanya merupakan wang pengenalan yang diberikan secara sukarela dan bukannya suapan.

Zizie Izette, 48, berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan dalam perbicaraan bela dirinya di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya sama ada beliau menolak pemberian wang tersebut ketika menerima panggilan telefon mengenainya, Zizie Izette menjelaskan beliau telah terlebih dahulu mendapatkan penjelasan mengenai sumber wang berkenaan.

“Sebelum saya terima, saya sudah bertanya berkali-kali dari mana, macam mana dan duit dari mana. Setelah saya fikirkan semuanya, saya tidak menolak,” katanya.

Pendakwaan kemudian mencadangkan bahawa kenyataan itu merupakan kali pertama beliau menyatakan di mahkamah bahawa tidak menolak pemberian wang daripada ejen pelaburan Norhaili Ahmad Moktar.

Menjawab perkara itu, Zizie Izette berkata beliau hanya menerima wang berkenaan selepas diyakinkan oleh Norhaili.

“Setelah saya diyakinkan Norhaili, ya, saya tidak menolak wang itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan bahawa wang tersebut merupakan suapan dan bukannya bayaran pengenalan.

Apabila ditanya mengenai hubungannya dengan Norhaili, Zizie Izette berkata individu itu merupakan rakan dan penasihat kewangannya.

Menjawab soalan pendakwaan mengenai keperluan bayaran pengenalan untuk memperkenalkan rakan kepada suaminya, Zizie Izette berkata beliau tidak pernah meminta wang tersebut.

“Saya minta maaf… itu kena tanya Elly (Norhaili). Dia yang beri kepada saya, saya tidak pernah minta,” katanya.

Terdahulu dalam pernyataan saksinya, Zizie Izette memberitahu bahawa Norhaili memaklumkan kepadanya bahawa Felcra Bhd telah melabur dalam produk unit amanah Public Mutual.

Menurutnya, Norhaili bersama seorang lagi ejen pelaburan, Mahdi Abdul Hamid, bercadang memberi wang pengenalan kira-kira RM2 juta sebagai tanda penghargaan kerana memperkenalkan mereka kepada Felcra Bhd.

“Saya terkejut dan memberitahu bahawa saya tidak melakukan apa-apa. Namun Elly menjelaskan ia merupakan amalan biasa dalam agensinya serta strategi pemasaran bagi menghargai bantuan dalam jaringan sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Zizie Izette turut menegaskan beliau tidak pernah terbabit dalam persubahatan menerima wang RM2.8 juta berkaitan pelaburan RM150 juta Felcra Bhd dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau juga menafikan pernah membantu arwah suaminya menerima sebarang wang daripada Norhaili atau Mahdi.

“Saya tidak pernah membantu suami saya menerima sebarang wang daripada Madhi atau Elly termasuk RM2.2 juta tunai serta RM262,500 dalam Akaun Public Islamic Treasures Growth Fund dan RM337,500 dalam Akaun Public Ittikal Sequel Fund saya.

“Saya juga tidak pernah secara langsung atau tidak langsung bersubahat, mendorong atau menggalakkan suami saya mendapatkan kelulusan Felcra Bhd atau Kementerian Kewangan II bagi pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual,” katanya.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How dan Mohd. Fadhly Mohd. Zamry manakala Zizie Izette diwakili peguam bela, K. Kumaraendran.

Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan arwah suaminya mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau juga didakwa secara rasuah memperoleh suapan tunai RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund yang didaftarkan atas nama Zizie Izette pada 17 Jun 2015 bagi tujuan sama.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak meneruskan prosiding terhadap Bung Moktar selepas bekas Ahli Parlimen Kinabatangan itu meninggal dunia pada 5 Disember lalu di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN