TANGKAK: Seorang suami didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya dengan kelar leher mangsa di Taman Cahaya, Bukit Gambir, dekat sini, minggu lalu.
Walau bagaimanapun, Mohamad Khairul Azmi Ithnin, 33, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Lee Kim Kiat.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh isterinya, Iecah Junus, 33, antara pukul 3.30 petang hingga 5.30 petang pada 2 Jun lalu di Taman Cahaya, Bukit Gambir.
Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Sapian, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah menetapkan 8 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan keputusan ujian patologi dan asid deoksiribonukleik (DNA).
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.30 pagi dengan memakai baju lokap berwarna ungu dan dikawal ketat anggota polis.
Selepas prosiding, suspek dilihat tersenyum ketika dibawa keluar dari mahkamah sebelum dibawa masuk ke dalam sebuah kenderaan menuju ke Mahkamah Sesyen Muar bagi berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan khianat dengan api.
Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Roslan Mohd. Talib memberitahu, tertuduh juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan api dengan membakar sembilan buah kenderaan di pekarangan rumah mentuanya di Kampung Durian Chondong, di sini, 3 Jun lalu. – UTUSAN