TEMERLOH: Seorang lelaki yang dipercayai merempuh dua remaja perempuan yang menunggang motosikal hingga maut minggu lalu, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas empat pertuduhan kerana memandu secara berbahaya dan memiliki dadah.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh, Chun Kok Keong, 38, didakwa memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian Nur Erdina Shaffiya Muhammad Nazri, 18, dan Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, 18, kira-kira pukul 10.50 malam, 11 Jun, di lampu isyarat Jalan Tengku Ismail, di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun dan denda hingga RM50,000.
Kok Keong diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Siti Fatimah Mohd. Shahril, mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan membabitkan kemalangan ngeri itu dibacakan terhadapnya.
Selain itu, tertuduh yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan turut didakwa mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 50.85 gram kira-kira pukul 12.30 pagi, 12 Jun lalu di hadapan lobi Ibu Pejabat Polis (IPD) Temerloh. Kok Keong mengangguk faham sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibacakan terhadapnya.
Sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan 15 sebatan jika tidak dihukum mati. Bagi pertuduhan itu, tiada pengakuan direkodkan kerana kes terbabit di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta dadah Berbahaya (Pindaan 1988) kerana memiliki heroin seberat 0.85 gram dan kesalahan dilakukan di tempat dan masa sama. Sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun dan denda hingga RM100,000 atau kedua-dua sekali. Tertuduh mengaku tidak bersalah.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Adriana Azri dan Siti Sarah Aqilah Lokman dan dibacakan di hadapan Majistret Tan Chiew King.
Mahkamah menetapkan 17 Julai dan 18 September untuk sebutan semula kes memandu berbahaya dan tuduhan miliki dadah selain syarat tambahan lesen memandu digantung hingga selesai perbicaraan. – UTUSAN