KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu kali sebatan atas kesalahan pecah masuk sebuah rumah dan merompak dua buah telefon bimbit, minggu lalu.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Faiz Razin Kamal Farid, 40, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, Faiz Razin didakwa merompak dua buah telefon bimbit milik seorang wanita dan anaknya di Flat Selayang Mansion, Chow Kit, dekat sini pada pukul 7 pagi, 20 Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Joshua Tee memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, Faiz Razin yang tidak diwakili peguam bela merayu hukuman terhadapnya dikurangkan berikutan dia menanggung dua anak dan isterinya menghidap bipolar serta sakit buah pinggang.
“Saya perlu duit untuk menanggung perubatan isteri dan saya terdesak. Saya menyesal dengan perbuatan ini, kalau ada sebatan, naikkan (jumlah) sebatan saya tetapi pendekkan tempoh hukuman (penjara) saya.
“Saya bersumpah, demi Allah dan berjanji tidak akan ulangi kesalahan ini lagi, saya menyesal,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, mangsa mendapati rumahnya diumpil oleh tertuduh menggunakan pemutar skru yang kemudiannya bertindak menutup mulut dan mencekik leher mangsa.
Mangsa kemudian cuba melawan dengan menendang tertuduh dan menjerit meminta pertolongan sebelum lelaki itu mengambil dua telefon bimbit mangsa dan melarikan diri. – UTUSAN