MUAR: Seorang penganggur sanggup memandu sejauh 186 kilometer dari Kuala Lumpur ke Taman Pagoh Jaya di sini, untuk menceroboh masuk tiga buah rumah di kawasan perumahan berhampiran.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, lelaki yang datang bersendirian itu ditahan selepas merosakkan harta benda dan memukul pemilik rumah kira-kira pukul 5 petang, semalam.
“Siasatan awal mendapati suspek lelaki tempatan berusia 29 tahun itu bertindak memanjat pagar dan tembok beberapa rumah selain merosakkan tombol pintu grill sebuah kediaman.
“Selain itu suspek juga dipercayai memukul seorang lelaki iaitu pemilik rumah sehingga menyebabkan kecederaan ringan di bahagian muka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, atas maklumat diterima, suspek berjaya ditahan sebelum dibawa ke Hospital Muar untuk rawatan kerana disyaki berhalusinasi ketika tangkapan dibuat.
“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau dan kini direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448, Seksyen 323, Seksyen 447 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN










