KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menjual bahan lucah melalui aplikasi Telegram, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Ammar Azaruddin, 26, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Ariffin.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama 4 bulan jika tertuduh gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menjual bahan-bahan lucah melalui satu akaun Telegram di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada pukul 9.15 malam, 9 April lalu.
Perbuatan itu dikesan apabila pengadu membuka satu laman sesawang yang kemudiannya membawa kepada akaun Telegram berkenaan.
Hasil semakan mendapati terdapat pelbagai kandungan lucah yang ditawarkan di akaun terbabit dengan bayaran tertentu dan promosi turut dibuat bagi menarik orang ramai menyertai kumpulan tersebut.
Muhammad Ammar didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh dipercayai mendapat keuntungan daripada perbuatan tersebut.
“Denda sahaja tidak memberi impak besar kepada tertuduh. Mahkamah harus mengenakan hukuman yang boleh menjadi pengajaran,” katanya.
Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Siti Sumaiyyah Ahmad Jaafar merayu agar hukuman diringankan memandangkan anak guamnya merupakan seorang penganggur dan tinggal bersama keluarga.
“Ini merupakan kesalahan pertama anak guam saya dan beliau memohon agar dikenakan hukuman denda yang berpatutan,” katanya. – UTUSAN