Lelaki cederakan, ugut warga emas didenda RM5,500

Lelaki cederakan, ugut warga emas didenda RM5,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Seorang peniaga didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencedera dan mengugut seorang lelaki warga emas, Ahad lalu.

Saiful Adli Yusof, 52, didakwa didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Liew Khoon Foo, 70, dengan menumbuk dan menendang bahagian muka serta badan mangsa di Jalan Cheras-Hulu Langat, Batu 9 Cheras, pada 8 Februari lalu, pukul 4.05 petang.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan mengugut, bapa empat orang anak itu didakwa telah menakutkan secara jenayah terhadap mangsa sama dengan ugutan hendak menyebabkan kematian, di lokasi dan waktu serupa.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Fatin Dayana Jalil memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Menurut fakta kes, Khoon Foo yang memandu kereta jenis Proton Wira terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire di Jalan Cheras-Hulu Langat pada 3.45 petang, sebelum mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke Taman Suntex kerana takut.

Saiful Adli yang mengekori daripada belakang kemudian menahan kereta mangsa di lampu isyarat sebelum bertindak menendang kereta terbabit hingga mendatangkan ketakutan sebelum terus menumbuk serta menendang mangsa yang keluar dari kenderaan beberapa kali.

Hasil siasatan mendapati punca kejadian bermula daripada kemalangan itu dan telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di muka, lebam di mata, bengkak di dagu dan lidah berdarah.

Timbalan Pendakwa Raya Aida Afiqah Shaari memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam bela, Muhammad Syakir Haznal memohon hukuman denda yang minimum atas alasan mempunyai tanggungan keluarga termasuk ibu mentua dengan penyakit kronik.

Pada Ahad lalu, tersebar satu rakaman di media sosial yang menunjukkan tertuduh bertindak agresif terhadap seorang individu di tempat duduk pemandu sebuah kenderaan, sementara beberapa orang lain dilihat cuba meredakan situasi.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN