HULU SELANGOR: Perbicaraan kes seorang anggota polis berpangkat lans koperal yang didakwa membunuh penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, Julai tahun lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri dalam prosiding sebutan kes yang dijalankan di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu memberikan kebenaran tersebut selepas pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Eirene Nabila Amani Williams-Hunt memaklumkan sudah mendapat kebenaran berbuat demikian bagi membolehkan kes dibicarakan.
“Mohon untuk kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam,” kata pendakwa raya itu.
Pada prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan segala dokumen berkaitan termasuk laporan kimia dan laporan patologi telah lengkap.
Pada sebutan kes itu hari ini juga, tiada mana-mana ahli keluarga tertuduh atau Nur Farah Kartini dilihat hadir berbanding prosiding-prosiding terdahulu.
Mengikut pertuduhan, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani didakwa menyebabkan kematian Nur Farah Kartini, 25, di antara pukul 9 pagi, 10 Julai dan pukul 6 petang, 15 Julai 2024 di Ladang SKC Kledang, Hulu Selangor di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali.
Nur Farah Kartini, hilang sejak 10 Julai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan meninggal dunia di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Felda Gedangsa, Hulu Selangor.
Mayatnya ditemukan kira-kira pukul 6 petang, 15 Julai dipercayai dibunuh individu dikenali dan susulan itu, polis menahan anggota polis berpangkat lans koperal itu. – UTUSAN