Pembantu operasi Kolej Matrikulasi Melaka didakwa minta suapan

Pembantu operasi Kolej Matrikulasi Melaka didakwa minta suapan

MOHD. RIZUAN Muhamad diiring pegawai SPRM selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pembantu operasi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15,000 sebagai upah memperakui perakuan siap kerja pembaikan di sebuah institusi pengajian tinggi, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Rizuan Muhamad, 42, membuat pengakuan itu sejurus tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Pembantu Operasi N11 yang memangku tugas sebagai Pembantu Kemahiran H19 di Kolej Matrikulasi Melaka ketika kejadian telah meminta suapan berjumlah RM10,000 daripada seorang lelaki berusia 43 tahun sebagai dorongan memperakui perakuan siap kerja bagi kerja pembaikan jenang dan tingkap di institusi berkenaan yang bernilai RM484,580.

Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM2,000 dan RM3,000 sebagai upah memperakui perakuan kerja siap berkenaan daripada individu sama.

Semua kesalahan itu dilakukan di sekitar kawasan Kampung Padang, Pokok Mangga dalam daerah Melaka Tengah pada 14 dan 15 Ogos serta 28 September 2022.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon jaminan berjumlah RM18,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Melaka.

Peguam Mohd. Nazri Abd. Hamid merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya kini bekerja sebagai pembantu operasi di sebuah sekolah dengan pendapatan RM2,800 sebulan, selain menanggung isteri dan ibunya yang uzur.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 30 Mei ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN