KUALA TERENGGANU: Bekas Penolong Juruukur Bahan di Majlis Perbandaran Dungun (MPD) bersama isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan salah guna kuasa bagi mendapatkan suapan serta mengemukakan dokumen palsu.
Mohammad Hanif Ahmad, 41, bersama isterinya, Maimunah Syahbudin, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.
Mengikut pertuduhan satu hingga empat, Mohammad Hanif didakwa menggunakan jawatannya untuk suapan iaitu kontrak pekerjaaan bagi perkhidmatan pembersihan awam dan kerja-kerja berkaitan bernilai keseluruhan RM4,984,296 dengan mengesyorkan syarikat milik bapa, abang dan rakannya.
Penjawat awam itu didakwa melakukan kesalahan itu di MPD di Jalan Yahaya Ahmad, Dungun pada 16 Disember 2018 dan 9 Mac 2021. Mohammad Hanif yang didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Maimunah yang ketika itu seorang kontraktor didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu penyata akaun dan sijil akuan pendaftaran syarikat tiga syarikat berbeza di MPD di Jalan Yahaya Ahmad, Dungun pada 17 Disember 2020 dan 10 Januari 2021.
Maimunah yang berdepan 10 pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (KK) boleh dihukum mengikut Seksyen 465 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 12 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes. Mahkamah membenarkan Mohammad Hanif dan Maimunah masing-masing diikat jamin RM18,000 dan RM10,000. – UTUSAN