Pegawai pengurusan jenazah berdepan tujuh tahun penjara

Pegawai pengurusan jenazah berdepan tujuh tahun penjara, takutkan isteri dengan gunting

TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menakutkan isterinya dengan mengejar wanita itu sambil memegang gunting. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pegawai pengurusan jenazah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menakutkan isterinya dengan mengejar wanita itu sambil memegang gunting.

Tertuduh, Mohd. Ridzuan Mohd. Fauzi, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan dengan niat menakutkan secara jenayah terhadap isterinya yang berusia 39 tahun dengan cara mengejar mangsa sambil memegang sebilah gunting.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 8.30 malam di sebuah rumah di Pangsapuri Kota Laksamana dalam daerah Melaka Tengah pada 20 Julai 2024.

Mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan, tertuduh berang selepas bayi mereka berusia tiga bulan dikatakan terjatuh dan mendakwa kejadian itu berpunca daripada kecuaian mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan hanya bekerja sebagai pegawai pengurusan jenazah dengan pendapatan RM1,800 sebulan, selain mempunyai dua orang anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 berserta syarat tambahan tidak boleh menganggu mangsa sehingga kes selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×