MELAKA: Seorang banduan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan mencabul kehormatan rakan selnya, dua tahun lalu.
Tertuduh, A. Sitambarasan, 32, mengaku tidak bersalah sejurus empat pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Berdasarkan tiga kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memeluk dan melakukan onani serta memasukkan kemaluan di celah dubur mangsa berusia 24 tahun dengan niat hendak mencabul kehormatannya.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 12 tengah malam dalam sel Penjara Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah antara 8 Oktober dan 10 Oktober 2022.
Tertuduh turut didakwa memasukkan sebahagian kemaluannya ke dalam dubur mangsa sama di lokasi yang sama, kira-kira pukul 1.30 pagi 12 Oktober 2022.
Bagi kesemua kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar tidak mencadangkan jaminan kerana tertuduh menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 28 Jun ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. – UTUSAN










