Tukang masak didakwa belasah pengawal keselamatan hingga

Tukang masak didakwa belasah pengawal keselamatan hingga parah

TERTUDUH diiring keluar anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan memukul seorang pengawal keselamatan. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memukul seorang pengawal keselamatan yang juga warga emas sehingga cedera parah, minggu lalu.

Tertuduh, S. Herman Rivae, 21, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa berusia 68 tahun.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 8 pagi di kawasan letak kenderaan Pangsapuri Laksamana Cheng Ho 2, Lorong Laksamana Cheng Ho 2 dalam daerah Melaka Tengah pada 29 April 2024.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, kejadian berpunca apabila mangsa menegur tertuduh yang menggunakan laluan salah sebaik memasuki kawasan pangsapuri menggunakan kenderaannya lantas menyebabkan berlaku pergaduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa kerana mereka tinggal di kawasan perumahan sama.

Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek merayu jaminan rendah kerana anak guamnya hanya bekerja sebagai tukang masak dengan pendapatan RM1,300 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 7 Jun ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×