Rosmah gagal masukkan PDRM, kerajaan sebagai pihak ketiga

Rosmah gagal masukkan kerajaan dan PDRM dalam saman barang kemas

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyenaraikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia sebagai pihak ketiga dalam saman syarikat barang kemas dari Lubnan terhadapnya, ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Hakim Ong Chee Kwan menolak permohonan tersebut atas alasan PDRM dan kerajaan bukanlah tortfeasor (entiti yang didapati melakukan kesalahan sivil dan mencederakan pihak lain) dan tidak bertanggungjawab untuk membayar pampasan kepada Rosmah atas sebarang liabiliti serta kerugian.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Reza Rahim kepada media selepas tamat prosiding kes itu.

Katanya, Rosmah bagaimanapun diberikan kebebasan untuk memfailkan sebarang saman baharu bagi sebarang kerugian yang mungkin dialami akibat tindakan polis dan kerajaan secara berasingan.

Reza turut memberitahu, mahkamah menetapkan 2 Ogos ini untuk pengurusan kes dan saman tersebut ditetapkan untuk perbicaraan dari 2 hingga 6 Jun 2025.

Pada 29 Mac 2023, Global Royalty menyaman Rosmah buat kali kedua dengan menuntut perintah mandatori supaya barang-barang kemas berkenaan dikembali atau dipulangkan dalam keadaan munasabah dan baik dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.

Global Royalty dalam afidavitnya mendakwa wanita itu berbohong dengan menyatakan 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepadanya dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut syarikat yang berpangkalan di Beirut itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan polis manakala baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa itu.

Plaintif mendakwa defendan (Rosmah) memperdayakannya dengan mengalihkan beban kepada Kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya sudah hilang.

Pada tahun 2019, Global Royalty memfailkan saman terhadap Rosmah untuk menuntut barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta tetapi menarik balik saman berkenaan.

Dalam saman asalnya, syarikat itu mendakwa pada 10 Februari 2018, ia menghantar barang kemas termasuk rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara kepada Rosmah yang diserahkan sendiri melalui dua ejennya.

Pada 28 November 2023, Global Royalty gagal mendapatkan penghakiman terus terhadap Rosmah selepas mendapati kes itu bukanlah satu kes yang sesuai dan wajar diputuskan melalui penghakiman terus kerana terdapat beberapa isu yang perlu dibicarakan (triable issues).

Bagaimanapun, pada prosiding sama, Mahkamah membenarkan permohonan Rosmah agar syarikat terbabit meletakkan kos jaminan sebanyak RM75,000 berbanding AS$1 juta (RM4.59 juta) yang dimohon sebelum ini.

Penghakiman terus itu dimohon oleh Global Royalty berhubung saman syarikat terbabit terhadap Rosmah yang didakwa gagal 43 barang kemas bernilai RM67.5 juta antaranya membabitkan rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara.

Penghakiman terus melibatkan prosedur tuntutan saman diputuskan oleh mahkamah tanpa melalui perbicaraan apabila isu berhubung fakta dalam kes terlibat atau undang-undang, tidak dipertikaikan.

Kos jaminan pula dimohon Rosmah atas alasan syarikat tersebut berpangkalan di luar negara dan akan menghadapi kesukaran menguatkuasakan perintah kos sekiranya kes itu berpihak kepadanya kelak. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×