Penolong pegawai perangkaan nafi salah guna harta jabatan

Penolong pegawai perangkaan nafi salah guna harta jabatan

TERTUDUH diiring anggota SPRM selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menyalah guna harta dan membuat tuntutan palsu. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang penolong pegawai di Jabatan Perangkaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyalah guna harta dan membuat tuntutan palsu berjumlah RM84,194.10 sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh, Norrul Huda Marsidin, 40, mengaku tidak bersalah sejurus enam pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan tiga kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Melaka dan Pertubuhan Belia Bersatu Kampung Tenang masing-masing berjumlah RM18,154.10 dan RM59,400 antara Disember 2021 dan November 2022.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut berdepan tiga pertuduhan mengemukakan tiga invois mengandungi penyataan palsu milik FIS Gemilang Enterprise bertarikh 22 November 2021 berjumlah RM6,640 bagi kerja-kerja pembekalan makanan dan minuman yang sebenarnya tidak dibekalkan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM40,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Melaka dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Azrul Zulkifli Stork merayu jaminan minimum antara RM15,000 hingga RM20,000 dengan alasan anak guamnya bertugas sebagai penolong pegawai dengan pendapatan bulanan RM5,000 dan perlu menanggung ibunya yang menghidap kencing manis serta darah tinggi.

Katanya, tertuduh menghidap penyakit anxiety disorder dan sedang menjalani rawatan di sebuah hospital.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan dipohon pendakwaan serta menetapkan 26 Jun ini untuk serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×