SELAYANG: Seorang pengarah sebuah syarikat jam islamik didenda RM13,500 oleh dua Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dua pertuduhan memiliki 703 unit jam azan bernilai RM222,000 tanpa perakuan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), tahun lalu.
Sewaktu prosiding di hadapan Majistret Chai Guan Hock, Mohamad Basri Ibrahim, 34, mengaku bersalah dan dikenakan denda RM6,500 manakala Majistret Nur Hafizah Rajuni mengenakan denda RM7,000 ke atasnya.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda RM6,500 dan penjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda RM7,000. Tertuduh membayar denda-denda itu.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Mohamad Basri didakwa memiliki 219 Bilal Jam Azan jenis Mecca Edition, 271 unit Bilal Jam Azan jenis Medina Edition dan 213 unit Bilal Jam Azan jenis Aqsa Edition tanpa perakuan yang diluluskan oleh Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) KDN.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Samudera, Batu Caves, pada 12.30 tengah hari, 27 November 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa KDN, Nik Azwin Nik Nazmi dan Surieyani A. Razak memohon hukuman sewajarnya sebagai pengajaran kepada tertuduh serta pemain industri percetakan untuk lebih bertanggungjawab ke atas kesucian agama dan mematuhi undang-undang ditetapkan.
Mohamad Basri yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarga dan isterinya tidak bekerja selain pendapatannya terjejas selepas barangan tersebut disita. – UTUSAN










