MELAKA: Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan menggunakan kekerasan dengan niat mencabul kehormatan cucu saudaranya, tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 62 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 19 ketika kejadian dengan niat hendak mencabul kehormatannya.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 8 malam dalam bilik sebuah hotel di Taman Kota Laksamana, Seksyen 3 dalam daerah Melaka Tengah pada 28 Januari 2023.
Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dibenarkan oleh mahkamah diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan dan menetapkan 11 Julai ini untuk serahan dokumen. – UTUSAN










